Sunday, November 27, 2011

Nevermind,

Apa masih ingat lagi? Momen aku dengan kamu berdua dalam kereta lalu radio dengan kejamnya memutarkan lagu Adele bertajuk Someone Like You. Dan saat itu juga dengan pantasnya jari kamu yang aku gemar itu menekan butang, meningkatkan volume memperkuatkan bunyi lagu; iya, jari kamu yang aku cukup gemar itu. Dan kamu nyanyikan, suara kamu dan Adele beriringan, tidak kuat suara kamu tapi cukup untuk memenuhi ruang pendengaran aku.

Aku yang seperti dinyanyikan kamu seperti lagu itu;
bakal dicarikan orang lain persis aku.
Aku yang seperti dinyanyikan kamu seperti lagu itu;
bakal digantikan tempat aku dalam diri kamu.

Aku ingat. Datanglah apa saja, datanglah sesiapa, aku tetap ingat.
Aku ini yang siang-siang mahu diganti orang,
aku ini yang terang-terang terbuang.
Aku ingat.


Tragisnya, lagu Adele itu aku putarkan dalam mode ulang setiap hari sebagai peneman tidurku. Lebih tragis, aku yang mendengar lagu itu sebenarnya sedang menanti dan menunggu kamu pulang pada aku, setiap hari, selalu.


Dyra J.

Saturday, October 29, 2011

Still.

Bila kau dah dapat satu-satunya manusia yang kasihnya dia pada kau tak lebih dan tak juga kurangnya, satu benda ; doa dan terus doa pada tuhan untuk dia terus menerus kasih pada kita.

Kenapa?

Supaya ada atau hilangnya dia satu masa nanti,
Tetap kita dikasih dia,
Tetap kita disayang dia.
Bersama atau tidak.

Walau sebagai siapa saja,
Kekasih atau kawan biasa,
Tuhan akan adakan dia tetap untuk kita.


Kata dia, sejujurnya dia masih kasih pada aku. Hanya dia mohon diberikannya dia masa untuk bernafas seketika, mencuri ruang memperbaiki lompang hidupnya.

Terima kasih tuhan! Terima kasih keluarga nuklear! Terima kasih kawan susah senang! Dan, terima kasih ; awak :)


Dyra J.

Thursday, October 6, 2011

Untold bond.

Buat apa mengucap kata kalau aksinya habuk segala?
Buat apa bercinta kalau sudahnya tak kemana?
Buat apa berduka kalau yang rasa cuma kau seorang saja sedangkan masa bahagia dikongsi berdua?

Buat apa?

Dengar sini sayang,
Kamu itu tak ternilai harganya.
Kamu itu istimewa setiap satunya.

Buat apa diberikan pada dia yang tak tahu apa ertinya?
Buat apa dibulatkan segala usaha demi dia yang tak tetap hatinya?

Berikan pada keluarga dan kawan,
Sudah pasti hati kamu dijulang,
Sudah tentu hati kamu selamat dipegang.

Dan dia yang sebenar akan datang kemudian,
Juga bersama keluarga dan kawannya,
Memberi hati milik dia,
Untuk kamu yang bakal menjadi keluarga dan kawannya.


Hati aku milik keluarga dan kawan-kawan dari dulu hingga selamanya. Maka akan aku tunggu dia itu datang bersama keluarga juga kawan-kawannya. Berkongsi segala macam bersama. Aku tunggu.


Dyra J.

.

Assalamualaikum, jodoh.

Awak dah sampai mana? Jauh lagi? Oh takpe, saya tunggu awak. Sampai bila-bila saya tunggu awak.

Selamat mencari saya wahai jodoh, assalamualaikum.
:)


Dyra J.

Tuesday, September 6, 2011

Dengar.

Untuk kamu;

Arjuna yang aku terpaling inginkan.
Arjuna yang selama ini aku tunggu tak pernah tertewaskan.
Arjuna yang bukan lagi milik aku.
Ye, kamu.


Tuesday, August 23, 2011

Kerana terlalu.

Bila kita terlalu percaya tentang sesuatu,
kita serah sebulatnya jiwa dan raga.

Kita pasakkan tanpa curiga,
kita teguhkan dengan penuh rasa,
kita dirikan sepenuh cinta.

Sedangkan sekelian dunia selalu membilang,
"hey, untuk apa percaya?"

Maka pedulikan saja,
teruskan percaya,
Kerana yang tahunya cuma kita,
yang fahamnya cuma kita.


Sedang dalam proses memahamkan hati sendiri tentang betapa kasih aku padanya tak terkira dan apa saja yang dikatakan orang takkan aku kemana.


Dyra J.

Sunday, August 14, 2011

Dengan penuh rasa.

Awak,

Hidup adalah sebuah kedai serbaneka yang mana dalamnya penuh tersusun pelbagai jenis topeng muka ; tertawa dan gembira, jujur atau sebaliknya, bercerita mahupun berahsia. Hidup ada semuanya. Kita sebagai pelanggan setia haruslah siap sedia, bahawa sesungguhnya susunan kedai serbaneka itu ada pertukaran dalam aturannya. Maka, tenang saja. Disetiap kali kita diberi topeng muka, redhakan semuanya. Pasti Tuhan bersama kita, sentiasa.


Dengan penuh cinta,
Perempuan gila,
Dyra Jalil.


Tuesday, August 2, 2011

A letter to you.

Bismillahirohmannirohim.

Dengan hati yang terpaling ikhlas,
maafkan saya.
Dan saya maafkan awak apa saja salah lakunya.

Dan dengan sepenuh hati,
saya lepaskan awak.
Mungkin, bukan lagi masa kita untuk bersama. Bukan jua lagi ditakdirkan kita berdua.

Dan sesungguhnya dengan jujur,
saya doakan awak bahagia.
Diizinkan tuhan, pasti sampai tua kamu berdua.

Wallahualam.


Dengan penuh kasih,
Perempuan gila,
Dyra Jalil,
2011.

Wednesday, July 27, 2011

Bohong!

Gadis;

Betapa kasih dia pada arjunanya,
Maka si gadis tipukan akalnya,
Ditidakkan fikirannya,
Dipangkahkan benaknya.

Betapa si gadis cinta pada arjunanya,
Sanggup;
Dibiar mati tak terluah kata,
Rela;
Dibiar bungkam tak membahas bicara.

Bohong!

Aku kenal dia,
Dia;
Dia menangis dalam tidurnya,
Dia bercakap dalam jiwanya.
Aku;
Aku kenal dia seluruhnya,
Akulah pelakar jiwa gadisnya.
Aku,
Aku gadis itu.


Dyra J.

Tuesday, July 26, 2011

.........

Aku?













AKU PEREMPUAN DITINGGALKAN.


Dyra J.

Sunday, July 17, 2011

Tunggu.

Tunggu aku,
Aku yang masih kesana kemari,
Aku yang masih lagi mengutip cebisan hati.

Hati aku koyak,
Hati aku berselerak.

Tunggu,
Tunggu aku!
Masih banyak yang perlu dikutip.

Tunggu aku.


Dyra J.

Tuesday, July 5, 2011

#1

Kalau lah dunia ini aku pengaturnya,
Fuh,
Akan diaturnya aku kita bersama selamanya.

Tak payah bersusah,
Tak perlu berpayah,
Apa pun jadi,
Kita berdua bersama.

Malangnya,
Dunia ini bukan aku tukang aturnya,
Bukan aku penyusun aturan kitarnya,
Maka tidaklah kita bersama,
Maka takkanlah kita berdua.


*gelak kecil sambil geleng kepala*


Manusia,
Bila susah, mahu segala.
Bila senang, tak diingatnya apa-apa.


Biasalah kita, bila dah susah meminta-minta. Bila didepan mata, dibiar tak terpandang sebelah mata.


Dyra J.

Monday, June 27, 2011

Dewa Juni.

Juni 2009.

Pernah aku bisikkan pada jiwa,
Jangan lagi buas,
Pasakkan jiwa pada dia,
Teguhkan raga hanya untuk dia.

Pada dia,
Hanya dia.


Juni 2011.

Jiwa,
Pasakmu telah teruntuhkan.
Ragamu telah tercarikkan.
Dipukul hancur,
Dicerai lebur.

Oleh dia,
Hanya dia.


Selamat tinggal arjuna, sudah cukup masa kita.


Dyra J.

Sunday, June 12, 2011

Aku yang masih,

Apa puas kau melihat aku berumah di kejauhan?
Aku yang berlagu sepi,
melayan hati,
bermuram diri.

Kalau bisa aku ceritakan melalui tangisan,
akan aku menangis tersedu sedan,
akan aku bercakap dengan esakan,
akan aku berteriak kesakitan;
betapa aku ini perempuan ditinggalkan,
betapa aku ini perempuan tak dimahukan,
betapa aku ini perempuan di pandang tak terpedulikan.

Malangnya,
aku ini masih peduli.


Dyra J.

Friday, June 10, 2011

Aku mahu.

Aku mahu jadi lelaki itu,
senangnya meninggalkan,
lancarnya berjalan,
langsung tak tertolehkan;
pada aku yang ditinggal pergi,
pada aku yang separuh mati.

Lalu aku teriakkan ke langit malam;
aku mahu jadi lelaki itu!
aku mahu jadi lelaki itu!

Aku mahu tahu apa rasanya meninggalkan gadis seperti aku,
gadis yang bilang dia celaru,
haru biru,
buruk laku,
gadis yang bilang dia kurang peduli,
kurang serba serbi.

Aku mahu tahu apa rasanya bila dibilang si gadis pada dia agar aman saja,
kerna si gadis ada untuknya sentiasa,
tapi tetap si gadis ditinggal pergi jua,
aku mahu tahu rasa itu bagaimana,
aku mahu tahu.

Tuhan,
aku mahu tahu!


Apa rasanya ya, meninggalkan sesuatu yang kita tahu kita sayangkan?


Dyra J.

Tuesday, May 24, 2011

Mei.

Awak,
pergilah.
Jangan kembali singgah.

Entah dari mana, aku jadi perempuan terpaling keliru dengan jiwa sendiri. Entah dari mana, aku belajar jadi pembenci. Entah dari mana, semuanya jadi tak kena. Entah dari mana, rasa ini tiba. Aku bukan perempuan yang dulu, aku yang kini telah hancur jiwanya dinoda dimamah dunia.

Maafkan aku.
Pergilah.

Dyra J.

Thursday, May 5, 2011

Sepuluh dan terakhir.

Buat manusia-manusia yang pernah aku tatang julangkan,
Buat manusia-manusia yang pernah aku cinta kasihkan,
Buat kamu,


Aku masih di tempat itu,
Di mana kamu kenal aku sebagai aku,
Di mana kamu kenal aku dibalik topeng wajahku,
Aku masih disitu.

Tak 'kan langsung aku berganjak,
Walau setapak.
Supaya akan datang satu hari,
Pulangnya kamu ke situ,
Sudah sedia ternampakkan aku.
Aku yang masih disitu,
Aku yang sedang menunggu
.

Aku masih disitu.


Siri proses memujuk hati. Edisi ke-10, masih tiada perubahan. Masih mahu membuang diri di kejauhan. Masih mahu menghilang. Kritikal.


Dyra J.

Sunday, May 1, 2011

Sembilan.

Betapa celarunya anak ini,
sepuluh didahulukan daripada sembilan.
Maaf!


Macam biasa, masih tidak sembuh.


Dyra J.

Lapan.

Aku mahu hilang.
Sekarang.


Dyra J.

Wednesday, April 27, 2011

Tujuh.

Mahu saja aku berteriak biar terbeliak semua,
Tentang betapa aku sakit,
Menjadi perempuan yang diluarnya happy,
Didalamnya ada sekeping hati,
Hati yang sepi.

Sakit.

Hati,
Selagi aku masih hidup,
Jangan pernah kau mati.
Sepi,
Selagi aku masih kuat,
usahlah dekat.

Aku tak mau berkawan.


Dyra J.

Saturday, April 23, 2011

Enam.

Sadly, I'm getting old.
And the saddest part is, I'm getting old without a guy by my side that I could whine to.
Damn, it is sad.


Dyra J.

Thursday, April 21, 2011

Lima.

Percaya tak setiap apa yang aku tuliskan, adalah setiap satu daripada luka-luka yang dihiris mereka pada hati aku.

Aku tuliskan,
Aku catatkan,
Aku khabarkan,

Supaya setiap satu daripada kamu tahu, aku bukan meminta apa, aku cuma mahu kamu tahu, luka-luka itu tak pernah mematikan. Walau membuak mana sekalipun darah yang mengalir.
Ia cuma satu luka.
Cuma.


Crying makes my heart heal. But love, these wounds shall not heal cause I no longer have any tears for you. And for that, I shall be strong. I will be strong. Jadi kuat!


Dyra J.

Friday, April 8, 2011

Empat.

Arus deras manalah yang tak mampu hanyutkan semua segala? Semua terhanyut, semua terbawa. Maka bila surut derasnya arus itu, berhenti lah terhanyutkan, berhentilah terbawakan. Berpautlah mencari pohon, berpeganglah mencari dahan. Kerana akan ada arus yang lebih deras, dan yang sempat berpaut akan tak terhanyutkan, dan yang tak sempat berpegang akan terbawakan.

Berpautlah pada aku,
Berpeganglah pada tanganku,
Aku jaga kamu.


Dunia ini adalah sungai, setiap satu daripada kita adalah pohon dan dahan. Dan arus itu sendiri adalah perubahan yang menakutkan. Yes, menakutkan.


Dyra J.

Tiga.

Terlalu lama rasanya proses ini. Hati, kapan mahu sembuh?
Sudah sudahlah.


Aku google nama kamu tadi.


Dyra J.

Thursday, April 7, 2011

Dua.

Tak perlu diubahnya aku hanya kerana bila kita beramai, aku perempuan terpaling penuh cela. Aku tak suka diubah, aku tak suka merubah.

Merubah menjadi kamu,
especially.


Untuk apa jadi sama kalau boleh jadi berbeza?


Dyra J.

Friday, April 1, 2011

Satu.

Celaka.
Celaka.
Celaka.
Celaka.
Celaka.
Celaka.
Celaka.
Celaka.
Celaka.
Celaka.
Celaka.
Celaka.
Celaka.
Celaka.
Celaka.

Mana lagi mahu lari?


Dyra J.

Friday, March 25, 2011

Nakhoda dan kapalnya.

Untuk apa dihebah gagahnya nakhoda kalau asal dilambung ribut kapalnya pecah semua?

Dilambung, tersasarkan.
Dipukul, terpecahkan.
Dihanyut, terdamparkan.

Maka, janganlah dijunjung.
Maka, tak perlulah disanjung.

Kata nakhoda, peta lautannya hilang semua,
Hanyut tah kemana.

Kata nakhoda, alatannya rosak semua,
Entah angkara siapa.

Sudahlah nakhoda,
Biarkan,
Lantakkan,
Dulikan.

Laut itu nanti ada pasang surutnya.


Aku minta nyawa, untuk aku bernafas bebas dimana aku disini diduga bermacam segala, berdiri di tempat orang tak ber-ibu bapa. Aku minta nyawa. Usah dikurung aku, usah dikongkong aku, usah meminta-minta untuk aku turutkan semua. Kesiankanlah aku.


Dyra J.

Sunday, March 20, 2011

Awak,

Mengapa begitu mudah terubahkan?
Mengapa begitu mudah mencipta kelainan?
Mengapa begitu mudah mahu berjanggalan?

Awak,
Apa dah jadi?
Mengapa begitu mudah?
Mengapa terlalu murah?

Saya di sini wak,
Untuk di hulurkan tangan,
Untuk di kurangkan beban.
Saya di sini.

Mengapa begitu mudah?


Tentang susuk yang terlalu dikenali berubah menjadi manusia terpaling asing. Mungkin, jawapan untuk ini macam cerita di bawah? Hm.


Dyra J.

Thursday, March 17, 2011

Sebab aku perempuan tipikal,

"Aku adalah perempuan tipikal.
Begitu mudahnya aku bersebak-sebak.
Begitu senangnya hati ini bersesak-sesak.
Begitu cepat diteguhkan pasak.
Maka tahulah aku mengapa.
Sebab aku perempuan tipikal."


Kata orang,
kata orang.



Jadi, perempuan itu sendiri sebenarnya harus bagaimana?


Dyra J.

Saturday, March 12, 2011

Tentang betapa,

Mahu saja aku tempikkan pada dunia,
Yang aku ini bukan calangnya,
Untuk dipijak dihina sentiasa.

Siapa kamu untuk menjaja aku?
Siapa kamu untuk dilekehnya aku?

Memang,
Duduk bangun kita,
Aku ini banyak lainnya.
Aku ini banyak campingnya.
Aku ini banyak jatuhnya.

Tapi untuk apalah ditempiknya dunia
Tentang betapa aku kisahkan semuanya?
Untuk apalah disalahkan dunia,
Tentang betapa aku tak sempurna.
Untuk apalah diherdiknya dunia,
Tentang betapa aku berbeza.

Untuk apalah?


Kenkadang, bila punya rasa berbeza buat kita tak mahu bersama. Tapi bukankah berbeza itu yang melengkapkan semuanya? Jadi janganlah dihina bezanya kita dalam keramaian, kerna kita medium dalam melengkapkan. Cheers to the dork!


Dyra J.

Bulan.

Didongaknya ke langit.
Meraung menangis anak itu tak tertahan.
Tersedu sedan dilambung tangisan.
Merenung bulan yang dicipta Tuhan.

Bulan itu sepi,
Bulan selalu sendiri.

Apa tidak sunyikah ia?
Apa tidak jemukah ia?

Cantik tak terpegangkan.
Indah tak tercapaikan.
Sunyi tak bertemankan.
Sepi tak terluahkan.

Jadi bulan itu susah,
Jadi bulan itu payah.
Mahu dipegang tak tersampaikan
Mahu diteman tak termampukan.


Maka jadilah yang biasa-biasa. Sedangkan bulan itu sepi, inikan kita manusia berhati.


Dyra J.

Saturday, February 12, 2011

Pada yang terkejamkan,

Dik,
Hati kita gagah.
Untuk kita ia simpan semua,
Untuk kita ia telan segumpal rasa,
Maka usah dirisau,
Maka usah meracau,
Hati kita gagah.

Lontarkan,
pada yang termampu sambut.
Balingkan,
pada yang terbisa tangkap.
Taburkan,
pada yang termahu kutip.

Dik,
Kakak tipu.
Dunia sebenarnya tak punya adiwira,
Dan kakak tak punya hati sekuat besi waja.
Kakak cuma punya topeng,
Yang dibuat berubah-ubah,
Untuk diganti-gantikan,
Untuk digilir-gilirkan.
Kakak perempuan biasa,
Tak ada kuatnya,
Tak ada gagahnya.

Dik,
Biar kejam mana sekalipun kau dipijak manusia,
Biar lancang mana sekalipun kau dihentam kata,
Teguhlah,
Gigihlah,
Bisik pada hati,
"bertahanlah hati,
redalah kau jiwa,
kita bersama".


Berapa kali mahu aku khabarkan bahawa hati adalah laskar terpaling setia disisi kita? Jaga ia, dan bila sampai waktunya, kirimkan pada yang sudi memolekkan ia. Kerna apa? Untuk kesekian kalinya, kerna hati adalah laskar terpaling setia disisi kita.


Dyra J.

Monday, January 31, 2011

Demi dunia,

Bila ada yang merusuh,
Kita marah.

Bila ada yang menggocoh,
Kita kecoh.

Pada kita,
Dunia ini rakus,
Dunia ini kejam,
Tapi apa kita lupa,
Kita didalamnya?
Kitalah si rakus itu,
Kitalah si kejam itu.

Maka bukan dunia ini yang kejam,
Tapi kita.
Maka bukan dunia ini yang jahanam,
Tapi kita.

Bergandinglah,
Tanpa punya rasa beza.
Demi dunia yang hampir hancur,
Demi dunia yang hampir lebur,
Bersatulah.
Berkasihlah.


Aku tak punya keberanian sehebat Iskandar Zulkarnain, tapi aku punya coretan untuk tatapan kalian. Untuk kita sama-sama berkasih, supaya mereka di luar sana tahu, kita masih mampu bersatu. Despite everything.


Dyra J.

Thursday, January 20, 2011

Puisi saya untuk arjuna.

Buangkan takut mu.
Hanyutkan risau mu.
Hilangkan sangsi mu.

Kerna aku ini tak kemana,
Sibuk berkejar kesini sana,
Ke rangkul mu semula aku tiba.

Maka jangan kau sembarangan berkata,
Maka jangan kau semberono saja,

Kerna aku ini punya jiwa,
Yang halusnya tak terkira,
Walau kasar dipandang rupa.

Bila mana pada mulanya aku katakan yang aku suka,
Bila mana pada mulanya aku katakan yang aku cinta,
Maka suka betul lah aku.
Maka cinta betul lah itu.

Jadi untuk apa bersusah hati?
Untuk apa berpayah sendiri?
Aku ada,
Sampai bila-bila.


Untuk sang kekasih yang sering dihantui perasaan takut akan kehilangan. Tuhan itu maha segala, kita sudah usahakan semua, tapi pokok pangkal Dia juga yang tentukan setiap satunya. Jadi, bergembiralah selagi masih bersama. Pejamkan mata untuk apa saja yang menanti kita. Kita sedang punya kita, mahu apa lagi?


Dyra J.

Thursday, January 13, 2011

Supaya kau tahu,

Di setiap jalan itu,
Aku pacakkan tanda namaku,
Supaya kau tahu,
Itu aku,
Yang menunjukkan kau jalan pulang,
Yang mahu engkau terjumpa dari hilang,
Yang menunggu engkau keluar dari kelam.

Di setiap jalan itu,
Aku taburkan cebis kertas catatan aku,
Supaya kau tahu,
Setiap satu cebisan itu adalah kata hatiku,
Yang sedang menunggu,
Yang sedang merindu.

Di setiap jalan itu,
Aku bisikkan suaraku,
Dan bila angin bertiup membawa bayu,
Pasti kau tahu,
Suara aku memanggil kamu.

Di setiap jalan itu,
Kau berlalu,
Tanpa kau pandang tanda namaku,
Tanpa kau baca cebisan catatan itu,
Tanpa kau rasa bayu yang meniup sayu,
Kerna kau tahu,
Perempuan ini bukan untukmu.


Cukup jelas untuk aku huraikan. Fahamkan sendiri.


Dyra J.

Wednesday, January 12, 2011

Sepi itu,

Sepi itu teman,
Sepi itu syaitan.
Menyanyilah.
Berteriaklah.
Menyanyi memecah sepi,
Berteriak meluah isi hati.

Maka berlalulah ia pergi,
Mahu memamah hidangan hati tak diberi.

Pasti sepi itu datang lagi,
Dan janganlah kau lari,
Dan gagahlah kau berdiri,
Siaplah berlagu sepi,
Serukan jeritan sakti.

Menyanyilah.
Berteriaklah.
Hiburkan hati,
Halaukan sepi.


Bila hati dimamah sepi, hiburkan. Bila hati diusik sepi, nyahkan. Semoga jiwa-jiwa kosong kita terisi satu hari nanti.


Dyra J.