Saturday, November 13, 2010

Sedang aku tak kenal aku,

Kau tak akan pernah kenal aku,
Jadi mahu apa kamu?

Aku mungkin sundal,
Siapa tahu?

Aku mungkin jalang,
Siapa tahu?

Aku mungkin pendosa,
Siapa tahu?

Sedang aku tak kenal aku,
Sedang aku mencari raksa jiwaku,
Dunia dengan rakusnya menghukum,
Menghentam berdentum-dentum,
Hukum.
Dentum.

Kamu perlu tahu yang bukan saja kamu,
Aku juga tak kenal aku.
Maka usahlah ditanyanya aku,
Maka janganlah dipersoalkan padaku,
Kerna sedang aku tak kenal aku.


Bila ditanya tentang diri, lidah aku kelu, otak aku mula membeku. Dan disitu aku sedar, yang aku sendiri tak kenal aku. Maka usahlah gigih mengenal siapa aku. Maka usahlah jerih menghadam bahasaku.


Dyra J.

Tuesday, November 9, 2010

Kenapa tak dimatikan saja,

Langit hari ini dilihatnya mendung,
Awannya saja tampak seperti terlalu sarat untuk dikandung,
Habis digugurkan semuanya,
Dibiarnya basah segala,
Dibiarnya layu semua.

Kenapa tak dimatikan saja rasa ini?
Biar tak tergusar,
Biar tak bergetar.

Penat.

Apa terlalukah aku meminta untuk dibuang rasa dijiwa?
Aku mahu hati aku dimatikan,
Supaya hati ini tak sepi,
Supaya hati ini tak lagi takut sendiri.

Apa terlalu?
Jawab aku.
Aku ingin tahu.


Tentang bosan mempunyai jiwa yang terlalu banyak rasa didalamnya. Jiwa yang membuatkan aku terlalu murah dengan airmata.


Dyra J.

Monday, November 8, 2010

Siapa kata aku marah?

Apa benda lagi yang terpaling jujur kalau bahasa jiwa aku pon kau kata itu kau punya? Mengaku itu yang kau rasa, mengaku kau yang meluah kata. Aku tak marah, cuma aku pelik. Kenapa mahu sangat mengaku sesuatu yang bukan engkau? Kenapa mahu sangat mengaku rasa yang tak pernah singgah pada engkau?

Mahu sangat jadi jiwa aku yang robek keadaannya?

Mahu sangat jadi jiwa aku yang sompek sedia ada?

Ambillah, kalau mahu sangat. Tapi jangan pernah merungut kalau kau tak dipandang orang. Tapi jangan pernah berkerut kalau tak ada siapa yang akan faham. Tapi jangan pernah mencarut kalau apa yang kau dapat tak persis apa yang kau inginkan.

Aku tak marah.
Aku tak marah.
Aku tak marah.
Aku tak marah.
Betul.

Apalah sangat ertinya puisi-puisi aku ini untuk aku marahkan orang yang mengaku itu hak mereka. Aku udah pesan, aku mahu berkongsi dengan semua. Berkongsi biarlah betul caranya. Puisi-puisi itu adalah titisan airmata aku yang jatuh disetiap lahirnya perkataan yang tak pernah mampu aku ungkapkan. Dan kau dengan senangnya mengaku itu apa yang kau rasa sedangkan aku yang bersedu sedan, mata aku yang berbentan.

Lepas ini apa? Mahu mengaku sang jiwa aku milik kau pula?



Dyra J.

Tuesday, November 2, 2010

Airmata.

Pernah kau rasa yang saat ini kau paling tak guna?
Pernah kau rasa detik ini yang kau memang patut dihina?
Dia merasakan saat ini diri dia paling corot.
Dia merasakan detik ini hati dia paling keromot.
Tak bisa berbuat apa.
Berjalan terhuyung tah kemana.
Maka dia duduk dan tersedu-sedu,
Mulutnya sedang terkumat kamit bercakap sambil dagunya mendongak tepat di langit biru.

Tuhan, aku ini tak mahu jadi batu yang kaku, tapi aku tak mampu meluah laku.
Tuhan, apa kata digantinya tempat dia sama aku?
Supaya aku tahu, bagaimananya rasa menjadi bisu walau punya suara merdu.
Tuhan, kalau permintaan pertamaku terlalu, izinkan aku minta lagi satu.
Mohon dikeringkan airmataku, supaya bisa aku sorok sedihku.


Dan awan pun berarak kelabu,
Seperti menggendong setiap titisan airmata anak itu.
Maka pesannya pada awan kelabu,
Awan, kendonglah airmata aku tanpa jemu.
Dan disetiap kepenatan kamu menggendong airmataku,
Gugurkanlah.
Gugurkan ia membasahi segala,
Dan disetiap gugurnya ia,
Tahulah kamu bahawa itu aku,
Sebenarnya.